Nasihat Lama, Kembali Tiba : Pelaburan Jangka Panjang Untuk Jiwa
Rajinkan Membaca dan Mendengar Nasihat: Kunci Ketenangan Jiwa Pada Masa Yang Tepat
Dalam kehidupan ini, kita tidak pernah sunyi daripada ujian. Ada kalanya ujian itu ringan, ada masanya ia terasa sangat berat hingga menyesakkan dada.
Justeru, kita sangat memerlukan nasihat samada melalui pembacaan, pendengaran, atau tadabbur al-Quran.
Tapi kan, bukan semua nasihat perlu digunakan serta-merta. Ada nasihat yang kita simpan lama dalam ingatan, namun Allah hadirkan ia kembali pada saat yang paling tepat iaitu ketika kita benar-benar memerlukannya.
Nasihat yang Datang Tepat Pada Waktunya
Berdasarkan pengalaman peribadi saya, pernah suatu ketika saya membaca satu petikan nasihat yang berbunyi lebih kurang :
“Ketika ditimpa masalah, jangan terus berfikir berlebihan (overthinking). Perbanyakkan istighfar, insyaaAllah Tuhan akan bukakan jalan.”
Petikan nasihat ini saya baca ketika usia sekitar belasan tahun, tapi dia tiba dalam ingatan ketika saya berumur hampir 30an. Dia tiba tepat pada masanya.
Lagipun semasa saya membaca nasihat itu, saya sekadar memahami secara teori. Namun, apabila diuji dengan satu ujian yang berat, fikiran buntu, hati serabut, dan emosi tidak stabil, nasihat itulah yang Allah hadirkan kembali dalam ingatan saya.
Pada ketika itu, saya berhenti seketika, menenangkan diri, mencapai biji tasbih dan mula memperbanyakkan istighfar.
Dalil dan Hujah: Mengapa Istighfar?
Nasihat ini bukan sekadar kata-kata motivasi. Ia berdiri atas asas yang kukuh daripada al-Quran, hadis, dan pandangan para ulama.
1. Istighfar dalam al-Qur’an
Allah SWT menjelaskan dengan jelas bahawa istighfar adalah kunci pembuka rezeki dan jalan keluar daripada kesempitan:
“Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Niscaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepadamu, dan membanyakkan harta serta anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan sungai-sungai.’”
(Surah Nuh: 10–12)
Ayat ini menunjukkan bahawa istighfar bukan hanya berkaitan dosa, malah berkait rapat dengan penyelesaian masalah kehidupan.
2. Istighfar dalam Hadis Rasulullah SAW
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang melazimkan istighfar, Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan, kelapangan dari setiap kesedihan, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
(HR. Abu Daud)
Hadis ini sangat jelas: kesempitan, kesedihan, dan kebuntuan hidup ada penawarnya iaitu istighfar.
3. Pandangan Para Ulama
Para ulama besar juga menekankan peranan istighfar ketika berdepan kesulitan:
- Ibnu Taimiyah: Apabila beliau buntu memahami sesuatu atau menghadapi kesukaran, beliau akan beristighfar beribu kali sehingga Allah membuka pintu kefahaman dan jalan keluar.
- Hasan al-Basri: Setiap orang yang datang mengadu tentang kemiskinan, kemarau, atau ketiadaan zuriat, beliau menjawab dengan satu nasihat yang sama: “Beristighfarlah.”
- Ibnu Qayyim al-Jauziyyah: Jika seseorang dihimpit banyak keinginan dan kerisauan, jadikan seluruh doanya sebagai istighfar. Apabila dosa diampuni, keperluan akan dipenuhi oleh Allah tanpa diminta secara khusus.
- Ibnu Kathir: Memperbanyakkan istighfar memudahkan urusan yang sukar, melapangkan rezeki, serta menenangkan dan menguatkan jiwa.
Mengapa Overthinking Bukan Solusi?
Dalam perspektif Islam, kerisauan berlebihan sering berpunca daripada terlalu bergantung kepada kemampuan diri sendiri. Sedangkan istighfar mengalihkan fokus kita daripada masalah kepada Pemberi Solusi, iaitu Allah SWT.
Dari sudut psikologi Islam, istighfar berfungsi untuk:
- Menenangkan hati – zikir menenangkan jiwa yang gelisah.
- Membersihkan penghalang – dosa boleh menjadi sebab tertutupnya jalan keluar.
- Memberi ilham – hati yang tenang lebih mudah menerima idea dan petunjuk.
Berfikir tanpa henti tanpa sandaran spiritual sering hanya menambah kecemasan. Istighfar pula mengajar kita tawakal, tanpa meninggalkan usaha.
Nasihat : Pelaburan Jangka Panjang Untuk Jiwa
Rajin membaca dan mendengar nasihat adalah pelaburan jangka panjang untuk jiwa. Mungkin hari ini kita belum memerlukannya, tetapi suatu hari nanti di saat fikiran kita buntu, celaru, serabut bahkan hidup terasa sangat gelap, nasihat itulah yang akan menjadi cahaya.
Apa Tindakan Saya Daripada Pengalaman Ini?
Apabila hidup terasa sempit, jangan sibuk mencari jalan seorang diri. Berhenti seketika, tundukkan hati, dan perbanyakkan istighfar. Kerana jalan keluar bukan selalu lahir daripada fikiran yang kusut, tetapi daripada hati yang kembali kepada Allah.
Semoga kita semua tergolong dalam hamba-hamba yang rajin mengambil nasihat, dan lebih rajin lagi mengamalkannya ketika diuji. InsyaaAllah.
Apa pendapat anda? Kongsikan pendapat dan pengalaman anda diruangan komen.
Comments
Post a Comment